Tujuan dan Skop

TUJUAN DAN SKOP PERKHIDMATAN PEJABAT OMBUDSMAN

Tujuan utama penubuhan Pejabat Ombudsman Universiti Sains Malaysia adalah untuk membantu pengurusan tertinggi Universiti di dalam menangani segala hal penyelesaian pertikaian dan aduan dalaman dengan mengamalkan prinsip bebas, kerahsiaan, tidak berat sebelah dan proses tidak formal untuk semua warga Universiti.


Pejabat Ombudsman Universiti Sains Malaysia boleh membuat cadangan kepada pengurusan tertinggi Universiti untuk penyelesaian di dalam kes-kes yang dikendalikannya dan pihak Universiti berhak untuk menerima atau tidak menerima cadangan-cadangan untuk perubahan tersebut di dalam dasar dan amalan Universiti.  Walau bagaimanapun, Pejabat Ombudsman tidak boleh menggantikan mana-mana saluran rayuan yang sedia ada di Universiti.

Pejabat Ombudsman akan sentiasa mengamalkan prinsip dan teras penting Ombudsman iaitu neutral, sulit, tidak formal dan bebas setakat mana yang boleh berdasarkan kepada undang-undang Malaysia serta Perlembagaan, Statut, Kaedah dan Peraturan Universiti.

Pendek-kata, Pejabat Ombudsman hendaklah menjadi tempat di mana warga Universiti boleh mendapatkan panduan mengenai masalah, isu, konflik atau kebimbangan yang berkenaan di tempat kerja di dalam USM.

Ombudsman akan menerima aduan. masalah atau pertanyaan secara sulit dan rahsia daripada warga Universiti yang mana, Ombudsman kemudiannya akan mengadakan inkuiri dan menawarkan opsyen kepada pengadu yang datang kepadanya. Ombudsman hendaklah mendengar dan membuat siasatan tidak formal berkenaan maklumat yang disiasat dan menawarkan pilihan penyelesaian, membuat rujukan, dan menjadi pengantara pertikaian secara bebas dan adil diantara pengadu dan pihak yang diadu.

Ombudsman hendaklah membantu pihak-pihak dalam mencapai penyelesaian terbaik selaras dengan cita-cita dan objektif penubuhan Ombudsman itu sendiri.  

Ombudsman juga boleh memberi maklum balas kepada Naib Canselor Universiti berkenaan mana-mana isu tanpa mengenal pasti mana-mana pihak kepada permasalahan mereka. Di samping itu, Ombudsman boleh membuat syor kepada Naib Canselor Universiti untuk perubahan dasar, latihan yang diperlukan, atau prosedur lain yang boleh meningkatkan keharmonian dan keadaan sekitar kampus.

Ombudsman Universiti Sains Malaysia diberi mandat penuh untuk mengendalikan segala aduan yang berkaitan di dalam sistem ekologi Universiti secara berhemah berdasarkan prinsip dan piawaian Ombudsman antarabangsa dengan mengambil kira prinsip utama seperti penjagaan kerahsiaan, neutral, bebas dan tidak formal untuk menyelesaikan segera masalah dan konflik kepada semua warga Universiti.

  • Hits: 2995

Pejabat Ombudsman,
Suite 141 Aras 1, Kompleks Eureka,
11800 Universiti Sains Malaysia.
Tel : 604-6536063/6062 | Fax: 604-6536173 |
Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.